Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Ekolokasi Kelawar

Ekolokasi Kelawar

 Walaupun kelawar dapat melihat, kebanyakan spesies kelawar menggunakan ekolokasi untuk mengesan keadaan sekeliling pada waktu malam. Ekolokasi merupakan kebolehan kelawar untuk menentukan jarak dan jenis sesuatu objek melalui bunyi yang dipantulkan dari objek itu. Sebagai contoh, sesetengah kelawar dapat membezakan seekor nyamuk daripada seekor kumbang melalui berapa laju serangga itu mengepakkan sayapnya.

 Fikirkan: Kebanyakan kelawar menghasilkan bunyi di dalam larinks, atau peti suara, dan mengeluarkan bunyi itu melalui mulut atau lubang hidung. Kelawar menggunakan telinganya yang besar untuk mengesan gema yang dihasilkan apabila bunyi dipantulkan dari objek di sekelilingnya. Gema yang dihasilkan membolehkan seekor kelawar untuk membuat gambaran tiga dimensi dalam mindanya tentang kawasan di sekelilingnya. Hasilnya, kelawar itu dapat menentukan lokasi, ketinggian, dan jarak sesuatu objek, biarpun banyak kelawar lain juga mengeluarkan bunyi.

 Sistem ekolokasi kelawar perlulah sangat tepat agar kelawar dapat menangkap mangsanya. Hal ini adalah kerana beza satu milisaat (1/1,000 saat) sahaja akan menyebabkan kelawar itu tersasar daripada mangsanya sebanyak 17 sentimeter. Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa “nampaknya mustahil” bagi kelawar untuk mempunyai ketepatan kurang daripada satu milisaat. Namun, eksperimen menunjukkan bahawa kelawar dapat mengira berapa lama masa sesuatu bunyi kembali kepadanya setepat 10 nanosaat (1/100,000,000 saat). Hal ini membolehkan kelawar menentukan kedudukan sesuatu objek dengan ketepatan satu milimeter atau kurang!

 Para penyelidik telah mereka sebuah tongkat elektronik yang menggunakan sistem ekolokasi. Tongkat ini dapat membantu orang buta mengetahui keadaan di sekeliling mereka dan mengelakkan objek penghalang, termasuk objek tinggi yang mungkin terkena kepala mereka, seperti dahan pokok. Brian Hoyle dan Dean Waters, dua orang pereka tongkat yang dipanggil Batcane, berkata, “Kemampuan kelawar untuk menggunakan ekolokasi memberi kami inspirasi untuk mereka tongkat ini.”

 Apakah pendapat anda? Adakah sistem ekolokasi kelawar yang luar biasa wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya pencipta?