Lompat ke kandungan

Adakah Kandungan Bible Telah Diubah?

Adakah Kandungan Bible Telah Diubah?

 Tidak. Meskipun teks Bible disalin semula selama beribu-ribu tahun pada bahan yang mudah reput, perbandingan antara manuskrip-manuskrip kuno menunjukkan bahawa kandungan Bible tidak diubah.

Adakah hal ini bermaksud bahawa kesalahan tidak pernah dilakukan semasa penyalinan?

 Ribuan manuskrip Bible kuno telah dijumpai. Sesetengah daripadanya mempunyai sedikit perbezaan. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kesalahan-kesalahan semasa penyalinan. Namun, kebanyakan perbezaan itu kecil dan tidak mengubah maksud teks asal. Meskipun demikian beberapa perbezaan yang besar telah ditemui, dan perbezaan itu mungkin wujud kerana ada orang yang mencuba mengubah mesej Bible. Pertimbangkan dua contoh berikut:

  1.   Di 1 Yohanes 5:7, sesetengah terjemahan Bible yang lama mengandungi ayat berikut: ‘yang di syurga ialah Bapa, Firman dan Roh Tuhan—ketiga-tiganya merupakan satu.’ Tetapi, ayat tersebut tidak terdapat dalam teks asal seperti yang dibuktikan oleh manuskrip-manuskrip kuno yang dapat dipercayai. Ayat itu telah ditambahkan pada kemudian hari. a Maka dalam banyak terjemahan Bible moden, ayat tersebut telah pun dikeluarkan.

  2.   Dalam manuskrip-manuskrip kuno, nama peribadi Tuhan muncul beribu-ribu kali. Tetapi, dalam banyak terjemahan Bible, nama itu telah digantikan dengan gelaran-gelaran seperti “Tuan” atau “Tuhan.”

Bagaimanakah kita boleh pasti bahawa tiada lagi kesalahan-kesalahan yang belum ditemui dalam Bible?

 Kini, banyak manuskrip telah ditemui. b Maka kesalahan-kesalahan dapat dikenal pasti dengan lebih mudah. Bagaimanakah perbandingan antara dokumen-dokumen tersebut membuktikan ketepatan Bible hari ini?

  •   Semasa mengulas tentang teks Kitab Ibrani (yang biasanya dipanggil “Perjanjian Lama”), cendekiawan yang bernama William H. Green menyatakan, “Tiada satu karya kuno pun yang telah disampaikan dengan begitu tepat.”

  •   Semasa mengulas tentang teks Kitab Yunani Kristian, atau “Perjanjian Baharu,” pakar Bible yang bernama F. F. Bruce menulis, “Jika tiada orang yang mempersoalkan kesahihan tulisan kuno yang lain, maka kesahihan Perjanjian Baharu juga tidak seharusnya dipersoalkan kerana Perjanjian Baharu disokong dengan begitu banyak bukti.”

  •   Pakar manuskrip Bible yang terkemuka, iaitu Frederic Kenyon, berkata bahawa seseorang “boleh memegang Bible dan yakin sepenuhnya bahawa apa yang dipegangnya merupakan Firman Tuhan yang benar, yang kandungannya tidak diubah dari generasi ke generasi selama berabad-abad.”

Apakah sebab-sebab lain yang meyakinkan kita bahawa mesej Bible telah disampaikan dengan tepat?

  •   Penyalin-penyalin Yahudi dan Kristian mencatat peristiwa-peristiwa yang mendedahkan dosa serius yang dilakukan umat Tuhan. c (Bilangan 20:12; 2 Samuel 11:​2-4; Galatia 2:​11-​14) Mereka juga memelihara teks-teks yang mengandungi kutukan terhadap bangsa Yahudi dan yang mendedahkan doktrin-doktrin manusia. (Hosea 4:2; Maleakhi 2:​8, 9; Matius 23:​8, 9; 1 Yohanes 5:​21) Dengan menyalin peristiwa-peristiwa ini dengan tepat, penyalin-penyalin itu menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai dan mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap Firman Tuhan yang suci.

  •   Bukankah munasabah untuk berfikir bahawa Tuhan yang mengilhami Bible, juga akan memelihara ketepatannya? d (Yesaya 40:8; 1 Petrus 1:​24, 25) Lagipun, Dia ingin agar Bible mendatangkan manfaat bukan sahaja bagi orang zaman dahulu, tetapi bagi kita dewasa ini. (1 Korintus 10:11) Sebenarnya, “segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.”​—Roma 15:4.

  •   Yesus dan pengikut-pengikutnya memetik ayat-ayat daripada salinan-salinan Kitab Ibrani tanpa sebarang keraguan terhadap ketepatan teks-teks kuno itu.​—Lukas 4:​16-​21; Kisah 17:​1-3.

a Ayat tersebut tidak muncul dalam Kodeks Sinaitikus, Kodeks Aleksandrinus, Manuskrip Vatikanus 1209, Vulgate bahasa Latin asal, Versi Philoxenian-Harclean bahasa Suryani, atau dalam Peshitta bahasa Suryani.

b Contohnya, lebih daripada 5,000 manuskrip Yunani yang dipanggil Perjanjian Baharu atau Kitab Yunani Kristian telah ditemui.

c Bible tidak menggambarkan wakil-wakil Tuhan sebagai manusia yang sempurna. Bible menyatakan, “Tiada sesiapa pun yang tidak berdosa.”​—1 Raja-Raja 8:​46.

d Walaupun Tuhan tidak menetapkan setiap perkataan yang harus ditulis dalam Bible, Dia telah membimbing pemikiran penulis-penulisnya.​—2 Timotius 3:​16, 17; 2 Petrus 1:​21.