Lompat ke kandungan

Apakah Itu Kuasa Suci atau Roh Kudus Tuhan?

Apakah Itu Kuasa Suci atau Roh Kudus Tuhan?

Jawapan Bible

 Kuasa suci atau roh kudus Tuhan ialah tenaga atau daya aktif yang dimiliki oleh Tuhan. (Mikha 3:8; Lukas 1:​35) Tuhan memancarkan tenaga-Nya ke mana-mana tempat yang dikehendaki-Nya untuk melaksanakan tujuan-Nya.​—Mazmur 104:30; 139:7.

 Dalam Bible, istilah “roh” diterjemahkan daripada kata Ibrani ruʹach dan kata Yunani pneuʹma. Lazimnya, kata-kata itu merujuk kepada daya aktif atau kuasa suci Tuhan. (Kejadian 1:2) Tetapi, Bible juga menggunakan kata-kata ini dalam konteks yang lain. Contohnya:

 Kesemua maksud ini merujuk kepada sesuatu yang tidak kelihatan, tetapi dapat menghasilkan kesan yang nyata. Begitu juga, kuasa Tuhan “bagaikan angin, tidak kelihatan, tidak berjasad, dan berkuasa.”​—An Expository Dictionary of New Testament Words, oleh W. E. Vine.

 Bible menggambarkan kuasa suci Tuhan sebagai “tangan” atau “jari” Tuhan. (Mazmur 8:3; 19:1; Lukas 11:20, nota kaki; bandingkan Matius 12:28.) Seorang tukang menggunakan tangan dan jarinya untuk bekerja. Begitu juga, Tuhan menggunakan kuasa-Nya untuk menghasilkan perkara-perkara berikut:

Kuasa suci bukanlah satu individu

 Memandangkan Bible menggambarkan kuasa suci Tuhan sebagai “tangan,” “jari,” atau “nafas,” jelaslah bahawa kuasa suci Tuhan bukanlah satu individu. (Keluaran 15:​8, 10) Tangan dan jari seseorang tukang tidak dapat berfungsi tanpa badan atau fikiran tukang itu. Maka, kuasa suci Tuhan tidak dapat berfungsi tanpa pengarahan Tuhan. (Lukas 11:13) Bible juga mengibaratkan kuasa suci Tuhan dengan air, dan mengaitkannya dengan sifat-sifat seperti iman dan pengetahuan. Semua perbandingan ini membuktikan bahawa kuasa suci bukanlah satu makhluk atau individu.​—Yesaya 44:3; Kisah 6:5; 2 Korintus 6:6.

 Nama Tuhan Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus Kristus tercatat dalam Bible. Tetapi, Bible langsung tidak menyebut nama kuasa suci. (Yesaya 42:8; Lukas 1:​31) Sebelum kematiannya, Stefanus diberi penglihatan tentang keadaan di syurga. Ketika itu, dia nampak dua individu, bukannya tiga. Bible mengatakan, “Stefanus dipenuhi kuasa suci Tuhan. Dia menengadah ke langit dan nampak kemuliaan Tuhan. Dia juga nampak Yesus berdiri di sebelah kanan Tuhan.” (Kisah 7:​55) Kuasa suci Tuhan telah dicurahkan kepada Stefanus agar dia dapat menerima penglihatan itu.

Tanggapan yang salah mengenai kuasa suci atau roh kudus Tuhan

 Tanggapan yang salah: Kuasa suci atau roh kudus merupakan satu individu dan sebahagian daripada Tritunggal, seperti yang tercatat di nota kaki untuk 1 Yohanes 5:​7 dalam Alkitab Berita Baik.

 Kebenaran: Alkitab Berita Baik memuatkan kata-kata berikut di nota kaki 1 Yohanes 5:​7: ‘Saksi-saksi yang di syurga ialah Bapa, Firman dan Roh Tuhan—ketiga-tiganya merupakan satu.’ Namun, para penyelidik mendapati bahawa kata-kata tersebut tidak ditulis oleh rasul Yohanes, maka ayat-ayat itu bukanlah sebahagian daripada Bible. Menurut Profesor Bruce M. Metzger, “Kata-kata itu berasal daripada sumber yang tidak sahih dan pasti tidak layak dimasukkan dalam Perjanjian Baharu.”​—A Textual Commentary on the Greek New Testament.

 Tanggapan yang salah: Bible mempersonifikasikan atau memberikan sifat-sifat manusia kepada kuasa suci. Hal ini membuktikan bahawa kuasa suci memang satu individu.

 Kebenaran: Bible kadangkala mempersonifikasikan kuasa suci. Namun, hal ini tidak semestinya membuktikan bahawa kuasa suci ialah satu individu. Bible juga telah mempersonifikasikan kebijaksanaan, maut, dan dosa. (Amsal 1:​20; Roma 5:​17, 21) Sebagai contoh, kebijaksanaan dikatakan mempunyai ‘anak-anak’ dan “perbuatan,” manakala dosa dikatakan dapat menggoda, membunuh, dan membangkitkan keinginan terhadap milik orang lain.​—Matius 11:19; Lukas 7:​35; Roma 7:​8, 11.

 Begitu juga, apabila rasul Yohanes mengutip kata-kata Yesus, dia telah mempersonifikasikan kuasa suci sebagai “penolong” yang akan memberikan bukti dan membimbing, bercakap dan mendengar, mengumumkan dan memuliakan, serta dapat menerima sesuatu. Yohanes menggunakan kata ganti diri bagi lelaki semasa merujuk kepada “penolong” itu. (Yohanes 16:​7-​15) Rasul Yohanes berbuat demikian kerana kata nama “penolong” (pa·raʹkle·tos) harus diikuti dengan kata ganti diri bagi lelaki menurut hukum tatabahasa Yunani. Namun begitu, apabila Yohanes merujuk kepada kuasa suci dengan istilah pneuʹma, Yohanes menggunakan kata ganti diri yang umum dan tidak merujuk kepada mana-mana jantina.​—Yohanes 14:16, 17.

 Tanggapan yang salah: Pembaptisan atas nama kuasa suci membuktikan bahawa kuasa suci ialah satu individu.

 Kebenaran: Ada kalanya, Bible menggunakan istilah “nama” untuk merujuk kepada kuasa. (Ulangan 18:19-​22; Ester 8:​10) Misalnya, dalam bahasa Melayu, rangkai kata “atas nama agama” pernah digunakan. Hal ini tidak bermaksud bahawa agama ialah satu individu. Begitu juga, seseorang yang dibaptis “atas nama” kuasa suci Tuhan menunjukkan bahawa orang itu mengakui peranan dan pengaruh kuasa suci Tuhan dalam melaksanakan kehendak Tuhan.​—Matius 28:19.

 Tanggapan yang salah: Rasul-rasul dan pengikut awal Yesus percaya bahawa kuasa suci merupakan satu individu.

 Kebenaran: Bible tidak membuktikan hal itu. Begitu juga dengan catatan sejarah. Encyclopædia Britannica menyatakan, “Pemahaman bahawa Roh Kudus ialah satu Individu seperti Tuhan . . . muncul semasa mesyuarat di Constantinople pada tahun 381 M.” Mesyuarat ini berlangsung kira-kira 250 tahun setelah kematian rasul yang terakhir.