Lompat ke kandungan

Apakah yang Dilambangkan oleh Binatang Buas yang Berwarna Merah Marak yang Disebut di Wahyu Bab 17?

Apakah yang Dilambangkan oleh Binatang Buas yang Berwarna Merah Marak yang Disebut di Wahyu Bab 17?

Jawapan Bible

 Binatang buas yang berwarna merah marak, yang tercatat di Wahyu bab 17, melambangkan pertubuhan yang bertujuan menyatukan dan mewakili bangsa-bangsa di dunia. Pertubuhan ini mula-mulanya ialah Liga Bangsa-Bangsa, dan kini dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Cara mengenal pasti binatang buas yang berwarna merah marak itu

  1.   Pertubuhan politik. Binatang buas yang berwarna merah marak itu mempunyai “tujuh kepala” yang melambangkan “tujuh buah gunung” dan “tujuh orang raja,” atau kuasa pemerintahan. (Wahyu 17:9, 10) Bible menggunakan gunung dan binatang buas untuk melambangkan kerajaan.—Yeremia 51:24, 25; Daniel 2:​44, 45; 7:​17, 23.

  2.   Menggambarkan sistem politik dunia. Binatang buas yang berwarna merah marak itu mirip dengan binatang buas yang mempunyai tujuh kepala di Wahyu bab 13, yang melambangkan sistem politik dunia. Kedua-dua binatang buas itu mempunyai 10 tanduk, tujuh kepala, dan nama-nama yang menghina Tuhan. (Wahyu 13:1; 17:3) Semua persamaan itu tidak berlaku secara kebetulan. Binatang buas yang berwarna merah marak itu merupakan gambaran kepada sistem politik dunia.—Wahyu 13:15.

  3.   Mendapat kuasa daripada pemerintahan lain. Binatang buas yang berwarna merah marak itu “datang daripada” pemerintahan-pemerintahan lain.—Wahyu 17:11, 17.

  4.   Berkaitan dengan agama. Babilon Besar, iaitu semua agama palsu di dunia, duduk di atas binatang buas yang berwarna merah marak itu. Hal itu menunjukkan bahawa binatang buas tersebut dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan agama.​—Wahyu 17:​3-5.

  5.   Mengaibkan Tuhan. Binatang buas itu “penuh dengan nama-nama yang menghina Tuhan.”​—Wahyu 17:3.

  6.   Menjadi tidak aktif untuk sementara waktu. Binatang buas yang berwarna merah marak itu akan berada dalam “jurang yang dalam,” a iaitu menjadi tidak aktif, buat suatu jangka masa, tetapi kemudiannya akan bangkit semula.​—Wahyu 17:8.

Nubuat Bible yang menjadi kenyataan

 Fikirkan bagaimana nubuat Bible tentang binatang buas yang berwarna merah marak telah berlaku kepada Liga Bangsa-Bangsa, yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

  1.   Pertubuhan politik. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong sistem politik dengan memelihara “kedaulatan semua negara anggotanya.” b

  2.   Menggambarkan sistem politik dunia. Pada tahun 2011, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dianggotai 193 buah negara. Maka, pertubuhan ini dikatakan mewakili kebanyakan negara dan bangsa di seluruh dunia.

  3.   Mendapat kuasa daripada pemerintahan lain. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dapat wujud kerana negara-negara anggotanya. Semua kuasa pertubuhan ini diberikan oleh negara-negara anggotanya.

  4.   Berkaitan dengan agama. Baik Liga Bangsa-Bangsa mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sentiasa mendapat sokongan daripada agama-agama dunia. c

  5.   Mengaibkan Tuhan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diasaskan untuk “memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.” d Matlamat ini nampaknya terpuji, tetapi PBB sebenarnya mengaibkan Tuhan kerana mendakwa bahawa mereka dapat melakukan sesuatu yang menurut Tuhan hanya dapat dilakukan oleh Kerajaan-Nya.​—Mazmur 46:9; Daniel 2:​44.

  6.   Menjadi tidak aktif untuk sementara waktu. Liga Bangsa-Bangsa dibentuk tidak lama selepas Perang Dunia Pertama untuk memelihara keamanan, tetapi gagal. Pertubuhan itu berhenti berfungsi semasa Perang Dunia Kedua, yang bermula pada tahun 1939. Pada tahun 1945, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibentuk. Tujuan, kaedah, dan strukturnya mirip dengan Liga Bangsa-Bangsa.

a Menurut penyelidik bahasa Yunani, perkataan yang diterjemahkan sebagai “jurang yang dalam” membawa maksud “lubang yang tidak terukur kedalamannya.” Dalam Bible, jurang ini merujuk kepada suatu keadaan atau tempat. Sesiapa yang dibuang ke dalam jurang ini akan terkurung dan langsung tidak dapat melakukan apa-apa.

b Lihat Artikel 2 dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

c Contohnya, pada tahun 1918, sebuah majlis yang mewakili puluhan aliran Protestan di Amerika mengisytiharkan bahawa Liga itu merupakan “lambang kerajaan Tuhan di bumi.” Pada tahun 1965, wakil-wakil daripada agama Buddha, Katolik, Ortodoks Timur, Hindu, Islam, Yahudi, dan Protestan, berhimpun di San Francisco untuk menyokong dan berdoa bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada tahun 1979, Paus John Paul II meluahkan harapannya agar PBB “sentiasa menjadi alat utama untuk mendatangkan kedamaian dan keadilan.”

d Lihat Artikel 1 dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.