Lompat ke kandungan

Apakah yang Dikatakan Bible mengenai Eutanasia?

Apakah yang Dikatakan Bible mengenai Eutanasia?

Jawapan Bible

 Bible tidak membincangkan eutanasia secara terperinci, a tetapi Bible dapat membantu kita memiliki pandangan yang seimbang mengenai hidup dan mati. Perbuatan mengambil nyawa seseorang adalah salah. Namun kita tidak perlu terlalu terdesak untuk memanjangkan nyawa seseorang jika dia sudah hampir meninggal dunia.

 Bible memberitahu kita bahawa Tuhan ialah Pencipta kita, “sumber segala kehidupan.” (Mazmur 36:9; Kisah 17:28) Kehidupan sangat berharga bagi Tuhan. Oleh itu, Tuhan melarang perbuatan mengambil nyawa seseorang dan membunuh diri. (Keluaran 20:13; 1 Yohanes 3:​15) Selain itu, Bible memberitahu bahawa kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi nyawa kita dan orang lain. (Ulangan 22:8) Jelaslah bahawa Tuhan mahu kita menghargai kurniaan kehidupan.

Bagaimana pula jika seseorang sakit tenat?

 Menurut Bible, kita tidak patut mengakhiri nyawa seseorang biarpun dia pasti akan mati tidak lama lagi. Perhatikan contoh Raja Saul dari Israel. Dia luka parah semasa dalam sebuah peperangan. Maka dia menyuruh salah seorang pengawalnya untuk membunuhnya. (1 Samuel 31:​3, 4) Pengawal itu enggan berbuat demikian. Tetapi, seorang lelaki kemudiannya membuat akuan palsu bahawa dia telah memenuhi permintaan Saul. Selepas mengetahui hal itu, Daud mengutuk perbuatannya dan menganggapnya telah berhutang darah. Sikap Daud telah mencerminkan pandangan Yehuwa terhadap kehidupan.​—2 Samuel 1:​6-​16.

Adakah kita harus melakukan apa-apa sahaja demi memanjangkan nyawa kita?

 Bible tidak mewajibkan seseorang untuk memanjangkan nyawanya apabila dia sudah hampir mati. Sebaliknya, Bible memberikan pandangan yang seimbang tentang kehidupan. Bible memberitahu kita bahawa kematian ialah musuh kita akibat dosa yang kita warisi. (Roma 5:​12; 1 Korintus 15:26) Tetapi, kita tidak perlu takut akan kematian kerana Tuhan berjanji untuk membangkitkan semula orang yang sudah mati. (Yohanes 6:​39, 40) Seseorang yang menghargai nyawa akan berusaha mencari perubatan yang terbaik. Namun hal itu tidak bermaksud dia perlu memilih prosedur perubatan yang dapat memanjangkan nyawanya biarpun sudah hampir mati.

Adakah membunuh diri merupakan dosa yang tidak boleh diampunkan?

 Tidak, Bible tidak menyenaraikan bunuh diri sebagai dosa yang tidak boleh diampunkan. Meskipun membunuh diri merupakan dosa yang serius, b Tuhan memahami beberapa faktor yang menyebabkan seseorang berbuat demikian. Misalnya, orang itu mungkin menghadapi gangguan mental, mengalami tekanan yang keterlaluan, atau penyakit yang disebabkan faktor keturunan. (Mazmur 103:13, 14) Menerusi Bible, Tuhan memberikan kelegaan kepada orang yang mengalami tekanan sedemikian. Selain itu, Bible juga berkata, “Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” (Kisah 24:15) Maksudnya, orang yang membuat dosa serius seperti membunuh diri akan memiliki harapan pembangkitan.

a Eutanasia bermaksud “mengakhiri nyawa seseorang yang menghidap penyakit kronik atau cedera parah agar dia tidak terus menderita.” (Merriam-Webster Learner’s Dictionary) Selain itu, apabila doktor membantu seorang pesakit yang ingin mengakhiri nyawa sendiri, tindakan itu dipanggil sebagai membunuh diri dengan bantuan doktor.

b Bible mencatatkan beberapa contoh orang yang bunuh diri. Mereka semua tidak bertindak selaras dengan kehendak Tuhan.​—2 Samuel 17:23; 1 Raja-Raja 16:18; Matius 27:​3-5.