Lompat ke kandungan

Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” di Old Harbour, Jamaica (kiri) dan Pittsburgh, Pennsylvania, A.S. (kanan), dan atur cara dalam bahasa Kreol Jamaica dan Jerman Pennsylvania

18 OKTOBER 2023
BERITA GLOBAL

Konvensyen Pertama dalam Bahasa Kreol Jamaica dan Jerman Pennsylvania

Konvensyen Pertama dalam Bahasa Kreol Jamaica dan Jerman Pennsylvania

Pada Julai 2023, konvensyen serantau bersemuka yang pertama telah diadakan bagi bahasa Kreol Jamaica dan Jerman Pennsylvania. Hampir 2,000 orang telah menghadiri Konvensyen “Teruslah Bersabar!” yang diadakan dalam bahasa ibunda mereka.

Bahasa Kreol Jamaica, Jamaica

Saudari-saudari di konvensyen bahasa Kreol Jamaica menyambut hadirin dengan poster “Selamat Datang!”

Bahasa rasmi di Jamaica ialah bahasa Inggeris. Walaupun demikian, kebanyakan penduduk di sana juga menuturkan bahasa Kreol Jamaica. Semasa konvensyen serantau tersebut, kira-kira 1,700 orang yang menghadirinya, dan ada antara mereka yang datang dari United Kingdom dan Amerika Syarikat. Acara tersebut diadakan di Marlie Technology Park di Old Harbour, Jamaica, dari 14-16 Julai 2023. Sejumlah 12 orang telah dibaptis.

Saudara saudari sangat teruja kerana dapat menghadiri konvensyen dalam bahasa ibunda mereka buat kali pertama. Saudari Tenesha Gordon berkata, “Semasa konvensyen bermula, saudara naik ke pentas dan mengalu-alukan hadirin dalam bahasa Kreol Jamaica. Pada saat itu, saya sangat terharu dan air mata pun mula bergenang. Saya tidak percaya saya sedang dengar program konvensyen dalam bahasa saya. Saya tidak mahu konvensyen itu berakhir.”

Bahasa Jerman Pennsylvania, Amerika Syarikat

Hadirin konvensyen berdiri di sebelah poster “Selamat Datang ke Konvensyen Serantau Jerman Pennsylvania yang Pertama”

Di Kanada dan Amerika Syarikat, terdapat kira-kira 400,000 penutur bahasa Jerman Pennsylvania. Bahasa ini ialah sejenis dialek bahasa Jerman dan sering dituturkan dalam masyarakat orang Amish dan Menno. Saudara saudari dari lima sidang dan satu kumpulan bahasa Jerman Pennsylvania harus membuat perjalanan jauh untuk menghadiri konvensyen serantau ini. Dari 7-9 Julai 2023, lebih daripada 200 hadirin telah berkumpul bersama di Dewan Perhimpunan Coraopolis di Pittsburgh, Pennsylvania, A.S.

Salah seorang penutur bahasa Jerman Pennsylvania ialah Saudara David Miller. Dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa kira-kira 25 tahun yang lalu. Pada masa itu, dia menggunakan bahasa Inggeris untuk mempelajari Bible. Dia tidak pernah bayangkan suatu hari nanti, akan ada sidang dalam bahasa Jerman Pennsylvania, lebih-lebih lagi untuk mengadakan seluruh program konvensyen dalam bahasa ibundanya. Dia kata, “Memang hebat sekali! Hati saya sangat tersentuh kerana dapat mendengar programnya dalam bahasa saya sendiri. Saya tidak mahu mengalihkan perhatian saya bahkan sesaat pun!”

Kita turut bersukacita dengan saudara saudari kita yang telah menghadiri konvensyen serantau itu. Kita bersyukur kepada Yehuwa, Tuhan yang menyatukan kita dan mengajar bahasa yang murni kepada semua.—Zefanya 3:9.