Lompat ke kandungan

Saudara saudari memberikan maklumat mengenai kaedah rawatan tanpa darah di persidangan perubatan di tapak konvensyen “La Nuvola” di Rom

27 JUN 2019
ITALI

Para Doktor Menunjukkan Minat terhadap Rawatan Tanpa Darah semasa Dua Persidangan Perubatan di Itali

Para Doktor Menunjukkan Minat terhadap Rawatan Tanpa Darah semasa Dua Persidangan Perubatan di Itali

Pakar perubatan melawat pondok maklumat di persidangan SIAARTI di Palermo

Banyak doktor menyatakan penghargaan mereka terhadap usaha organisasi kita untuk menyediakan maklumat tentang kaedah rawatan dan pembedahan tanpa darah di serata dunia. Sebagai contoh, wakil daripada Bahagian Khidmat Maklumat Hospital (Itali), yang terletak di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Rom, dan ahli Jawatankuasa Perhubungan Hospital tempatan telah menyediakan pondok maklumat di Kongres Kebangsaan Persatuan Anestesia, Analgesia, Resusitasi, dan Penjagaan Rapi Itali (SIAARTI) yang telah diadakan di Palermo, Sicily. Persidangan itu diadakan dari 10 hingga 13 Oktober 2018. Selepas persidangan itu, saudara saudari kita juga telah menyediakan pondok maklumat di persidangan perubatan bagi pakar bedah di tapak konvensyen “La Nuvola” di Rom.

Persidangan sedemikian membuka peluang untuk memberikan maklumat terkini tentang rawatan tanpa darah kepada banyak pakar perubatan sekali gus. Semasa persidangan di Palermo, sebanyak 2,800 orang pakar anestesiologi telah hadir. Semasa persidangan di Rom pula, yang merupakan persidangan perubatan paling besar yang pernah diadakan di Itali, sebanyak 3,500 orang pakar bedah telah hadir. Persidangan itu juga dihadiri oleh wakil dari institusi perubatan yang terkemuka di Itali, termasuk ahli dari semua persatuan pakar bedah dan dari Kolej Pakar Bedah Amerika cawangan Itali. Beberapa buah institusi kebangsaan, seperti Kementerian Kesihatan, juga telah menyokong persidangan ini.

Doktor Vincenzo Scuderi, seorang pakar anestesiologi dari Hospital Policlinico di Catania, Sicily, telah melawat pondok maklumat Saksi di persidangan yang diadakan di Palermo. Pada 18 Januari 2019, dia memberikan rawatan kecemasan kepada seorang Saksi yang menghadapi masalah jantung. Dia berjaya menjalankan prosedur rawatan yang sangat rumit itu tanpa menggunakan darah. Dr. Scuderi berkata, “[Pondok maklumat kamu] di persidangan SIAARTI 2018 sangat membantu saya semasa menangani kecemasan itu. Dokumen yang kamu berikan kepada kami sangat berguna.”

Kini, terdapat lebih daripada 5,000 orang doktor di Itali yang bersetuju untuk memberikan rawatan dan melakukan pembedahan tanpa darah yang selamat dan berkesan bagi Saksi-Saksi Yehuwa. Secara purata, terdapat 16,000 orang Saksi-Saksi Yehuwa yang mendapat rawatan sebegini di Itali setiap tahun.