Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Bishkek, Kyrgyzstan

23 DISEMBER 2021
KYRGYZSTAN

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Menyatakan bahawa Kyrgyzstan Mencabuli Hak Saksi-Saksi Yehuwa

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Menyatakan bahawa Kyrgyzstan Mencabuli Hak Saksi-Saksi Yehuwa

Lima belas anggota Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CCPR) sebulat suara menyatakan bahawa Kyrgyzstan mencabuli hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk menjalankan ibadat mereka di tiga buah wilayah di negara itu. Dalam sebuah dokumen yang mempunyai tujuh muka surat, CCPR mengarahkan agar Kyrgyzstan “membayar pampasan yang sewajarnya” terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan “mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengelak pelanggaran hak daripada berlaku pada masa depan.” Ini merupakan kali kedua CCPR mengutuk perbuatan Kyrgyzstan yang mencabuli hak Saksi-Saksi.

Pada tahun 1993, komuniti Saksi-Saksi Yehuwa yang pertama telah didaftarkan di Kyrgyzstan. Kemudian pada tahun 1998, Saksi-Saksi Yehuwa diakui secara rasmi di negara itu. Maka, selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa di negara itu dapat menjalankan ibadat mereka secara bebas. Namun, selama lebih daripada 10 tahun, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama (SCRA) enggan mendaftarkan tiga komuniti baharu Saksi-Saksi Yehuwa di wilayah-wilayah bahagian selatan Osh, Naryn, dan Jalal-Abad. Hal ini masih berlaku biarpun para saudara terus membuat permohonan. Oleh itu, para Saksi tidak dapat menjalankan ibadat mereka, mengadakan perjumpaan dan perhimpunan, serta mempunyai tempat ibadat sendiri atau menggunakan tempat untuk beribadat. Maka, CCPR menyatakan bahawa Kyrgyzstan mencabuli hak kebebasan beragama Saksi-Saksi Yehuwa di tiga buah tempat tersebut.

CCPR menyatakan bahawa pihak berkuasa Kyrgyzstan harus “mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mengelak pelanggaran hak daripada berlaku pada masa depan.” Kyrgyzstan diberikan 180 hari untuk melaporkan kepada CCPR bahawa mereka mengambil tindakan berdasarkan keputusan yang telah dibuat.

Kita belum tahu sama ada pihak berkuasa Kyrgyzstan akan mentaati keputusan CCPR untuk membenarkan saudara saudari kita menjalankan ibadat mereka atau tidak. Namun, pakar hak asasi manusia di Forum 18 telah meneliti situasi tersebut dan melaporkan bahawa SCRA telah “mengabaikan keputusan serupa daripada PBB yang dibuat pada tahun 2019.”

Tidak kira Kyrgyzstan mentaati arahan PBB atau tidak, kita yakin bahawa Yehuwa memerhatikan apa yang dialami oleh saudara saudari di sana. (Mazmur 37:18) Bapa kita yang pengasih di syurga akan terus memberkati kesetiaan dan keberanian mereka.—Mazmur 37:28.