Lompat ke kandungan

Saudara saudari menyambut Saudara Shamil Khakimov semasa dia keluar dari penjara

16 MEI 2023
TAJIKISTAN

Saudara Shamil Khakimov yang Berumur 72 Tahun Dibebaskan dari Penjara

Saudara Shamil Khakimov yang Berumur 72 Tahun Dibebaskan dari Penjara

Pada 16 Mei 2023, Saudara Shamil Khakimov telah dibebaskan dari penjara di Tajikistan. Dia telah dipenjarakan selama lebih daripada empat tahun kerana imannya.

Sebelum dia ditangkap pada 2019, Shamil menghidap penyakit darah tinggi, penyakit jantung, dan penyakit lain. Walaupun dia mempunyai masalah kesihatan yang serius, dia tidak mendapat rawatan yang dia perlukan semasa dalam penjara. Akibatnya, keadaan dia menjadi semakin teruk sehingga dia mendapat gangren pada kakinya.

Namun, biarpun Shamil menderita di penjara, dia tetap berfikiran positif dengan berfokus kepada beberapa ayat Bible.

Sahabat-sahabat Shamil menyambutnya di luar penjara sambil memegang papan tanda yang bertulis “Shamil, Kami Mengasihi Kamu!”

Dalam doanya, Shamil sering memetik kata-kata di Mazmur 141:8: “Aku bergantung pada-Mu, ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat. Aku berlindung kepada-Mu.” Dia juga mendapat kelegaan daripada Yesaya 49:13, 16. Ayat ini menunjukkan bahawa nama mereka yang ditindas seolah-olah ‘diukir pada tapak tangan Yehuwa.’ Kata-kata ini meyakinkan Shamil bahawa Yehuwa tidak akan melupakan dia semasa dia dikurung dalam penjara.

Kelegaan daripada Firman Tuhan telah membantu Shamil untuk tetap bersukacita dan menggalakkan orang lain juga. Seorang saudara yang sentiasa berhubung dengan Shamil semasa dia dalam penjara kata, “Semasa saya menelefon dia buat kali pertama, saya sangka dia akan rasa sedih dan tawar hati dengan keadaan dia. Namun, Shamil ada iman yang kuat. Tidak kira apa situasi dia, dia tetap berfikiran positif dan dia selalu menggalakkan kami.”

Ratapan 3:25 kata, “Yehuwa baik terhadap orang yang berharap kepada-Nya; Dia baik terhadap insan yang terus mencari-Nya.” Kita berdoa agar Yehuwa akan terus menunjukkan kebaikan hati terhadap Shamil dan saudara saudari di Tajikistan yang sedang bertabah dengan sukacita.