Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 85

Bersukacita apabila Seorang Pendosa Bertaubat

Bersukacita apabila Seorang Pendosa Bertaubat

LUKAS 15:1-10

  • PERUMPAMAAN TENTANG BEBIRI YANG HILANG DAN WANG YANG HILANG

  • MALAIKAT DI SYURGA BERSUKACITA

Semasa Yesus menginjil, dia banyak kali menekankan pentingnya sikap rendah hati. (Lukas 14:8-11) Dia mencari orang yang ingin menyembah Tuhan dengan rendah hati, dan ada antara mereka masih hidup dalam dosa.

Mereka tertarik kepada Yesus dan ajarannya, tetapi orang Farisi dan para jurutulis hukum berpendapat bahawa orang yang berdosa ini tidak layak mendengar ajaran Yesus. Maka mereka berkata, “Lelaki ini menyambut orang yang berdosa dan makan bersama mereka.” (Lukas 15:2) Orang Farisi dan para jurutulis hukum sombong dan menganggap orang biasa seperti debu di bawah tapak kaki mereka. Itulah sebabnya mereka menggunakan ungkapan Ibrani ‛am ha·’aʹrets, yang bererti “penduduk tanah” untuk merujuk kepada orang biasa.

Yesus pula memperlakukan semua orang dengan hormat, baik hati, dan belas kasihan. Ramai orang yang hina, termasuk mereka yang hidup dalam dosa, ingin mendengarkan Yesus. Yesus dikritik kerana ingin membantu orang sedemikian. Jadi apakah yang akan dilakukannya?

Dia menceritakan sebuah perumpamaan yang menyentuh hati, seperti yang telah diceritakannya di Kapernaum. (Matius 18:12-14) Dia menggambarkan orang Farisi sebagai orang yang kononnya berbuat baik dan diperkenankan Tuhan, dan orang yang hina pula sesat dan hilang perkenan Tuhan. Yesus berkata,

“Katakan seorang daripada kamu memiliki 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya hilang. Tidakkah dia akan meninggalkan 99 ekor bebiri itu di padang belantara lalu pergi mencari bebiri yang hilang itu sehingga dapat? Apabila dia menjumpai bebiri itu, dia memikulnya pada bahu dan bersukacita. Setibanya di rumah, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bergembiralah bersamaku kerana bebiriku yang hilang sudah dijumpai.’”​—Lukas 15:4-6.

Kemudian Yesus menjelaskan, “Dalam cara yang sama, seorang pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita yang lebih besar di syurga berbanding dengan 99 orang yang melakukan apa yang benar, yang tidak perlu bertaubat.”​—Lukas 15:7.

Orang Farisi pasti terkejut dengan kata-kata Yesus kerana mereka berpandangan bahawa mereka berbuat baik dan tidak perlu bertaubat. Beberapa tahun yang lalu, mereka mengkritik Yesus kerana dia makan bersama para pemungut cukai dan pendosa, dan Yesus telah menjawab, “Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Markus 2:15-17) Ya, orang Farisi berasa bahawa mereka tidak perlu bertaubat. Mereka jauh berbeza dengan pendosa yang benar-benar bertaubat dan mendatangkan sukacita di syurga.

Untuk menekankan bahawa pendosa yang bertaubat akan mendatangkan sukacita di syurga, Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan. Dia berkata, “Katakan seorang wanita memiliki 10 keping wang perak dan sekeping daripada wang peraknya hilang. Tidakkah dia akan menyalakan pelita, menyapu rumahnya, dan mencari wang perak itu dengan teliti sehingga dapat? Apabila dia menjumpai wang perak itu, dia memanggil kawan-kawan dan jiran-jirannya lalu berkata kepada mereka, ‘Bersukacitalah bersamaku kerana wang perakku yang hilang sudah dijumpai.’”​—Lukas 15:8, 9.

Perumpamaan ini dan perumpamaan tentang bebiri yang sesat mempunyai pengajaran yang sama. Yesus berkata, “Dalam cara yang sama, aku memberitahu kamu bahawa malaikat-malaikat Tuhan akan bersukacita apabila seorang pendosa bertaubat.”​—Lukas 15:10.

Pendosa yang bertaubat akan diberi kedudukan dalam Kerajaan Tuhan di syurga, dan kedudukan yang diterima oleh mereka lebih tinggi daripada para malaikat! (1 Korintus 6:2, 3) Biarpun begitu, para malaikat masih bersukacita dan tidak cemburu. Bagaimana pula dengan kita? Apakah perasaan kita apabila seorang pendosa bertaubat?