Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mengapakah Kitaran Kebencian Wujud?

Mengapakah Kitaran Kebencian Wujud?

Mengapakah kitaran kebencian wujud? Untuk mengetahui jawapannya, kita perlu tahu apa itu kebencian, bagaimana kebencian mula berakar, dan bagaimana kebencian menjangkiti orang.

Apakah Itu Kebencian?

Orang yang berasa benci akan memusuhi atau amat tidak menyukai individu atau kumpulan orang tertentu. Perasaan yang kuat ini akan berlanjutan untuk tempoh masa yang lama.

BAGAIMANA KEBENCIAN MULA BERAKAR

Terdapat banyak sebab kebencian mula berakar dalam hati seseorang. Sering kali, seseorang membenci orang lain, bukan kerana apa yang dilakukan oleh mereka, tetapi kerana siapa mereka. Dia mungkin menganggap orang yang dibencinya itu jahat, tidak berniat baik, atau tidak mampu berubah menjadi orang yang baik. Selain itu, dia juga mungkin memandang mereka sebagai orang yang bertaraf rendah, orang yang berbahaya, atau orang yang selalu menimbulkan masalah. Seseorang mempunyai perasaan sebegini kerana dia mungkin pernah menjadi mangsa keganasan atau ketidakadilan, atau kerana pengalaman buruk lain.

BAGAIMANA KEBENCIAN MENJANGKITI ORANG

Seseorang mungkin membenci orang lain, biarpun dia tidak pernah berjumpa dengan mereka. Sebagai contoh, jika ahli keluarga atau sahabatnya membenci orang tertentu, dia juga mungkin terikut-ikut dengan pandangan mereka tanpa disedarinya. Contoh ini menunjukkan bahawa rasa benci dapat menjangkiti orang dengan mudah. Dalam kata lain, jika beberapa orang dalam sesebuah kumpulan membenci golongan tertentu, lama-kelamaan rasa benci itu dapat menjangkiti semua orang dalam kumpulan itu.

Memandangkan kebencian dapat menjangkiti orang dengan mudah, maka tidak hairanlah perasaan ini begitu berleluasa dalam dunia sekarang. Untuk memutuskan kitaran kebencian, kita mesti mengetahui akar umbinya. Bible memberitahu kita apa sebenarnya akar umbi kebencian.

BIBLE MENJELASKAN AKAR UMBI KEBENCIAN

KEBENCIAN TIDAK BERASAL DARIPADA MANUSIA. Kebencian bermula semasa satu malaikat di syurga memberontak terhadap Tuhan dan berdusta tentang-Nya. Malaikat itu kemudiannya dikenali sebagai Syaitan Si Iblis. Si Iblis merupakan “pembunuh sejak dia berdusta tentang Tuhan.” Sebagai “pendusta dan bapa segala dusta,” dia memarakkan rasa benci dan menggalakkan orang untuk bersikap agresif. (Yohanes 8:44; 1 Yohanes 3:11, 12) Bible menyatakan bahawa Syaitan ialah makhluk roh yang keji, agresif, dan selalu marah.​—Ayub 2:7; Wahyu 12:9, 12, 17.

MANUSIA YANG TIDAK SEMPURNA CENDERUNG MENUNJUKKAN KEBENCIAN. Adam, iaitu manusia yang pertama, telah mengikut Syaitan. Akibatnya, semua manusia mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan daripada Adam. (Roma 5:12) Contohnya, Kain, iaitu anak sulung Adam, membenci adiknya Habel lalu membunuhnya. (1 Yohanes 3:12) Memang benar, ada banyak orang yang pengasih dan berbelas kasihan. Namun, disebabkan dosa daripada Adam, ramai orang cenderung bersikap mementingkan diri, iri hati, dan sombong. Sikap-sikap sedemikianlah yang melahirkan rasa benci.​—2 Timotius 3:1-5.

SIKAP TIDAK BERTOLAK ANSUR MEMARAKKAN KEBENCIAN. “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat,” iaitu Syaitan Si Iblis. Oleh itu, dunia kita sekarang menggalakkan orang untuk mempunyai sikap dan kelakuan yang buruk. Jadi, tidak hairanlah sikap prasangka, tidak bertolak ansur, menghina, membuli, dan merosakkan harta benda semakin berleluasa.​—1 Yohanes 5:19.

Namun, Bible bukan sahaja mendedahkan akar umbi kebencian, tetapi juga menjelaskan bagaimana masalah kebencian dapat diselesaikan.