Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Mereka Rela Berkhidmat

Mereka Rela Berkhidmat

ANTARA para Saksi yang berkhidmat di tempat yang memerlukan penyiar ialah para saudari bujang. Sesetengah daripada mereka telah bertahun-tahun berkhidmat di luar negara. Apakah yang mendorong mereka berpindah ke negara asing? Apakah yang dipelajari mereka semasa berkhidmat di sana? Bagaimanakah kehidupan mereka berubah? Kami telah menemu ramah beberapa saudari yang berpengalaman. Jika anda saudari bujang dan ingin lebih menikmati kerja penyebaran, kami pasti bahawa anda akan meraih manfaat daripada pengalaman mereka. Kita semua boleh mendapat manfaat daripada teladan mereka.

MENGATASI KERAGUAN

Anita

Saudari bujang, adakah anda berasa ragu-ragu untuk berkhidmat di negara asing? Anita, kini berusia 75 tahun, meragui keupayaannya. Dia dibesarkan di England dan mula merintis apabila berusia 18 tahun. Dia berkata, “Saya suka mengajar orang tentang Yehuwa, tetapi saya tidak pernah berfikir bahawa saya dapat berkhidmat di luar negara. Saya tidak pernah belajar bahasa asing dan berasa bahawa saya tidak dapat melakukannya. Maka apabila saya dijemput ke Sekolah Gilead, saya terperanjat. Saya berasa hairan bahawa saya dijemput. Namun saya berfikir, ‘Jika Yehuwa berasa bahawa saya dapat melakukannya, saya akan cuba.’ Hal itu berlaku 50 tahun dahulu. Sejak itu, saya berkhidmat sebagai mubaligh di Jepun.” Anita juga gembira dan teruja kerana dapat menggalakkan saudari muda untuk merintis di negara asing. Ramai telah berbuat begitu.

MENJADI BERANI

Ramai saudari yang berkhidmat di luar negara pada mulanya segan berbuat demikian. Bagaimanakah mereka menjadi berani untuk melakukannya?

Maureen

Maureen yang berusia 64 tahun berkata, “Semasa saya muda, saya ingin menikmati kehidupan yang bermakna dan membantu orang lain.” Ketika berusia 20 tahun, dia berpindah ke Quebec, Kanada, kerana di sana memerlukan perintis. Dia berkata, “Kemudian, saya menerima jemputan ke Sekolah Gilead tetapi saya takut jika ditugaskan ke tempat yang tidak diketahui dan tidak mempunyai kawan. Saya juga risau untuk meninggalkan ibu yang sedang menjaga bapa saya yang uzur. Saya sering menangis pada waktu malam ketika berdoa kepada Yehuwa. Apabila saya mengongsi kerisauan saya dengan ibu bapa, mereka menggalakkan saya untuk menerima jemputan itu. Saya juga dapat melihat cara sidang membantu ibu bapa saya. Apabila melihat cara Yehuwa membantu keluarga saya, saya yakin bahawa Dia juga akan membantu saya. Oleh itu, saya bersedia untuk pergi!” Sejak tahun 1979, Maureen telah berkhidmat sebagai mubaligh di Afrika Barat selama lebih daripada 30 tahun. Hari ini, Maureen menjaga ibunya di Kanada dan masih berkhidmat sebagai perintis khas. Semasa mengenang kembali khidmatnya di luar negara, dia berkata, “Yehuwa selalu membekalkan apa yang saya perlukan pada masa yang tepat.”

Wendy

Wendy, kini berumur 65 tahun, mula merintis semasa dia remaja di Australia. Dia berkata, “Saya seorang pemalu dan berasa susah untuk bercakap kepada orang yang tidak dikenali. Namun dengan merintis, saya dapat berbual dengan segala macam orang dan menjadi semakin yakin. Selepas itu, saya berasa lebih berani. Khidmat merintis mengajar saya untuk bergantung pada Yehuwa dan saya mula berasa bahawa saya dapat berkhidmat di luar negara. Selain itu, terdapat seorang saudari yang pernah menjadi mubaligh di Jepun selama lebih daripada 30 tahun. Dia menjemput saya untuk menemaninya selama tiga bulan untuk menginjil di Jepun. Berkhidmat bersamanya menyemarakkan semangat saya untuk berpindah ke negara asing.” Pada tahun 1986, Wendy berpindah ke Vanuatu, kepulauan yang terletak 1,770 km di bahagian timur Australia.

Wendy masih berkhidmat di sana. Dia kini berkhidmat di pejabat penterjemahan. Dia berkata, “Saya sangat bersukacita melihat kumpulan dan sidang dibentuk di tempat terpencil ini. Memang penghormatan yang besar kerana saya dapat memainkan peranan kecil dalam kerja Yehuwa di pulau-pulau ini.”

Kumiko (tengah)

Kumiko yang kini berumur 65 tahun, dahulunya berkhidmat di Jepun sebagai perintis biasa. Rakan perintisnya mencadangkan agar mereka berpindah ke Nepal. Kumiko berkata, “Dia ajak saya berkali-kali, tetapi saya tidak mahu pergi. Saya risau kerana perlu belajar bahasa baharu dan menyesuaikan diri di tempat baharu. Selain itu, saya perlu wang yang cukup untuk berpindah. Semasa saya masih berada dalam dilema ini, saya mengalami kemalangan dan dimasukkan ke hospital. Jadi saya berfikir, ‘Siapalah yang tahu apa akan berlaku kepada saya pada kemudian hari? Mungkin saya akan sakit dan tidak dapat merintis di luar negara. Bolehkah saya cuba berkhidmat di luar negara selama setahun?’ Saya memohon Yehuwa membantu saya mengambil tindakan.” Selepas keluar dari hospital, Kumiko melawat Nepal. Kemudian, dia dan rakan perintis berpindah ke sana.

Kumiko sudah berkhidmat di Nepal sekitar 10 tahun. Dia berasa bahawa Yehuwa selalu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dia berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Biasanya apabila saya mengongsi mesej Bible di rumah satu keluarga, lima atau enam jiran akan datang untuk mendengar mesej ini. Anak-anak kecil juga akan minta risalah daripada saya. Saya bersukacita kerana berkhidmat di mana kerja penyebaran mendapat sambutan baik.”

MENANGANI CABARAN

Para saudari bujang yang berani ini juga menghadapi cabaran. Bagaimanakah mereka menanganinya?

Diane

Diane yang berasal dari Kanada berkata, “Pada mulanya, saya berasa susah kerana jauh dari keluarga.” Kini, dia berusia 62 tahun dan pernah berkhidmat sebagai mubaligh di Ivory Coast (kini dipanggil Côte d’Ivoire) selama 20 tahun. Dia berkata, “Saya minta Yehuwa membantu saya mengasihi orang di kawasan penyebaran. Seorang pengajar di Sekolah Gilead iaitu Saudara Jack Redford menjelaskan bahawa pada mulanya, kami mungkin akan terkejut dengan keadaan di tempat kami ditugaskan, terutamanya apabila keadaan di sana mengalami kemiskinan yang teruk. Namun saudara itu berkata, ‘Jangan berfokus kepada kemiskinan. Fokuslah kepada orang. Lihatlah wajah dan mata mereka. Perhatikan reaksi mereka apabila mendengar kebenaran Bible.’ Itulah yang saya lakukan dan saya mendapat berkat! Apabila berkongsi mesej Tuhan yang melegakan, saya dapat melihat mata orang di sana bersinar-sinar!” Apa lagi yang telah membantu Diane untuk menyesuaikan diri di negara asing? Dia berkata, “Saya menjadi semakin rapat dengan pelajar Bible dan bersukacita melihat mereka menjadi penyembah Yehuwa. Tempat saya ditugaskan telah menjadi seperti kampung halaman saya. Seperti yang dijanjikan Yesus, saya telah mendapat ibu bapa dan adik-beradik rohani.”Mrk. 10:29, 30.

Anne yang kini berusia 46 tahun berkhidmat di sebuah tempat di Asia. Di sana, kerja penyebaran disekat. Dia berkata, “Selama bertahun-tahun saya berkhidmat di beberapa lokasi yang berbeza di luar negara. Saya juga tinggal bersama saudari-saudari yang mempunyai latar belakang dan keperibadian yang berbeza. Kadangkala, hal ini akan menimbulkan salah faham dan perasaan tersinggung. Jika hal itu berlaku, saya cuba menjadi lebih rapat dengan teman serumah agar dapat lebih memahami budaya mereka. Saya juga berusaha untuk menunjukkan kasih dan bertolak ansur. Saya gembira kerana semua usaha ini membuahkan hasil dan dapat menjalin persahabatan yang kekal. Semua usaha ini membantu saya bertabah dalam khidmat saya.”

Ute

Ute berasal dari Jerman dan kini berusia 53 tahun. Dia ditugaskan sebagai mubaligh ke Madagascar pada tahun 1993. Dia berkata, “Mula-mula, saya berasa susah untuk mempelajari bahasa tempatan dan menyesuaikan diri dengan cuaca yang panas dan lembap. Saya juga perlu menghadapi demam malaria, ameba, dan cacing parasit. Namun, saya menerima banyak bantuan. Saudari tempatan dan anak mereka serta pelajar Bible dengan sabar membantu saya untuk menguasai bahasa tempatan. Rakan mubaligh saya juga menjaga saya apabila saya sakit. Yang terpenting, Yehuwa telah membantu saya. Saya selalu mencurahkan kekhuatiran kepada-Nya. Selepas itu, saya sabar menunggu selama berhari-hari atau berbulan-bulan agar doa dijawab. Yehuwa menyelesaikan semua masalah saya.” Ute kini telah berkhidmat di Madagascar selama 23 tahun.

KEHIDUPAN DILIMPAHI BERKAT

Seperti saudara saudari lain yang berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan, para saudari bujang di negara asing juga menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Apakah berkat yang diterima mereka?

Heidi

Heidi, dari Jerman, kini berusia 73 tahun. Dia berkhidmat sebagai mubaligh di Ivory Coast (kini dipanggil Côte d’Ivoire) sejak tahun 1968. Dia berkata, “Saya bersukacita melihat anak-anak rohani saya ‘tetap berjalan mengikut kebenaran.’ Sesetengah pelajar Bible saya kini berkhidmat sebagai perintis dan penatua. Kebanyakan mereka memanggil saya Emak atau Nenek. Seorang penatua, isterinya, dan anak-anak mereka menganggap saya sebagai keluarga. Maka Yehuwa memberi saya seorang anak lelaki, menantu, dan tiga orang cucu.”3 Yoh. 4.

Karen (tengah)

Karen, dari Kanada, kini berumur 72 tahun. Dia pernah berkhidmat di Afrika Barat selama lebih daripada 20 tahun. Dia berkata, “Kehidupan mubaligh mengajar saya untuk menunjukkan sikap rela berkorban, kasih, dan kesabaran. Selain itu, bergaul dengan rakan seiman daripada pelbagai bangsa memperluas sudut pandangan saya. Saya belajar bahawa ada banyak cara untuk melakukan sesuatu. Saya memang diberkati kerana mempunyai sahabat di serata dunia! Walaupun kehidupan dan tugas kami berubah, persahabatan kami kekal.”

Margaret, dari England, kini berumur 79 tahun. Dia pernah berkhidmat sebagai mubaligh di Laos. Dia berkata, “Berkhidmat di negara asing membantu saya melihat cara Yehuwa memimpin orang dari pelbagai kaum dan latar belakang ke organisasi-Nya. Hal ini menguatkan iman saya. Saya yakin bahawa Yehuwa sedang membimbing organisasi-Nya dan tujuan-Nya akan dilaksanakan.”

Para saudari bujang yang berkhidmat di luar negara memang telah memberikan sumbangan yang besar dalam kerja penyebaran. Mereka patut dipuji. (Hak. 11:40) Lebih-lebih lagi, jumlah mereka semakin meningkat. (Mzm. 68:12) Dapatkah anda juga meniru teladan para saudari yang bersemangat ini? Jika ya, anda pasti dapat ‘rasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa!’Mzm. 34:9.