Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Satu Tindakan yang telah Mencerminkan Kebaikan Hati

Satu Tindakan yang telah Mencerminkan Kebaikan Hati

JOHN tinggal di sebuah pekan kecil di Gujarat, India. Bapanya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa pada akhir tahun 1950-an, tetapi John, lima orang adik-beradiknya, dan ibunya, berpegang kuat pada ajaran Roman Katolik dan menentang kepercayaan bapanya.

Pada suatu hari, bapa John menyuruhnya menghantar sampul surat kepada seorang sahabat dari sidang. Namun pada pagi yang sama, jari John luka teruk semasa dia membuka sebuah tong besar. Walaupun begitu, John mendengar cakap bapanya. Dia mengikatkan kain pada jarinya yang luka lalu berjalan ke rumah sahabat bapanya itu.

Semasa John tiba, isteri sahabat bapanya yang juga seorang Saksi-Saksi Yehuwa menerima sampul surat itu. Dia nampak jari John yang luka lalu mengeluarkan peti pertolongan cemas, membersihkan lukanya dengan antiseptik, dan membalut luka itu. Kemudian dia membuat secawan teh panas untuk John dan berbual-bual tentang Bible dengan John.

Ketika itu, sikap prasangka John terhadap Saksi-Saksi mula berubah. Dia bertanya kepada saudari itu tentang dua topik mengenai kepercayaan bapanya yang berbeza daripada kepercayaannya: Adakah Yesus ialah Tuhan? Patutkah orang Kristian berdoa kepada Maria? Memandangkan saudari itu tahu bahasa Gujarat, dia menjawabnya dengan menggunakan Bible Gujarat lalu memberinya buku kecil “This Good News of the Kingdom” dalam bahasa itu.

Semasa membaca buku kecil itu, John berasa bahawa dia sedang mendengar kebenaran Bible buat kali pertama. Jadi dia menanyakan dua soalan yang sama kepada paderinya. Paderinya naik marah lalu membaling Bible ke arahnya dan menjerit, “Kamu sudah jadi Syaitan! Tunjuk kepada saya ayat mana yang kata Yesus bukan Tuhan. Tunjuk kepada saya ayat mana kata kamu tidak patut sembah Maria. Tunjuk!” John terkejut dengan sikap paderi itu lalu berkata kepadanya, “Saya tidak akan jejakkan kaki lagi di gereja Katolik.” Itulah yang terjadi!

John mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi, berpegang teguh kepada ibadat sejati, lalu mula menyembah Yehuwa. Setelah itu, beberapa orang ahli keluarganya juga melakukan hal yang sama. Hari ini, 60 tahun kemudian, parut di jari John masih kelihatan. John sentiasa mengenang kebaikan hati Saksi itu yang mendorongnya memeluk ibadat sejati.​—2 Kor. 6:4, 6.