Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah yang Bible Katakan tentang Perubahan Iklim dan Masa Depan Kita?

Apakah yang Bible Katakan tentang Perubahan Iklim dan Masa Depan Kita?

 “Perubahan iklim yang teruk sedang berlaku. Tidak lama lagi, bumi tidak akan dapat didiami.”—The Guardian.

 Perubahan iklim yang semakin teruk sebenarnya disebabkan oleh manusia sendiri. Kebanyakan saintis bersetuju bahawa manusialah yang bertanggungjawab atas pemanasan global. Akibatnya, suhu bumi makin meningkat dan membawa masalah lain seperti:

  •   Cuaca yang melampau berlaku dengan lebih kerap, contohnya gelombang panas, kemarau, dan ribut. Ini juga telah menyebabkan berlakunya banyak banjir dan kebakaran hutan.

  •   Glasier dan ais Artik mencair.

  •   Peningkatan paras laut.

 Masalah ini telah mempengaruhi seluruh pelosok dunia. Selepas membuat liputan tentang keadaan di 193 negara, New York Times melaporkan, “Bumi kita sedang meminta tolong!” Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga berkata bahawa perubahan iklim menyebabkan banyak penderitaan dan kematian, dan merupakan “ancaman yang paling besar terhadap kesihatan manusia.”

 Tapi, kita tidak perlu hilang harapan. Sejak dulu lagi, Bible menyatakan tentang peristiwa yang berlaku hari ini, apa yang akan Tuhan lakukan pada masa depan, dan sebab untuk percaya bahawa Dia akan bertindak.

Adakah perubahan iklim mempunyai kaitan dengan nubuat Bible?

 Ya. Perhatikan beberapa nubuat Bible tentang zaman kita dan kaitannya dengan perubahan iklim yang berlaku.

 Nubuat Bible: Tuhan akan “membinasakan orang yang membinasakan bumi.”—Wahyu 11:18, nota kaki.

 Bible menyatakan bahawa manusia akan menyebabkan bumi hampir musnah. Akibat pemanasan global, manusia sedang membinasakan bumi dalam skala yang tidak pernah dilihat.

 Nubuat Bible ini menunjukkan satu sebab mengapa manusia tidak mungkin dapat menyelamatkan bumi ini. Meskipun sesetengah orang yang berniat baik berusaha untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim, mereka tidak berupaya untuk menghalang orang lain daripada merosakkan bumi. Tapi Bible kata bahawa Tuhan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang “membinasakan bumi.”

 Nubuat Bible: Terdapat “kejadian yang menakutkan.”—Lukas 21:11.

 Bible kata bahawa “kejadian yang menakutkan” akan berlaku pada zaman kita. Perubahan iklim sememangnya telah menyebabkan cuaca yang melampau dan menakutkan berlaku di serata dunia. Selain itu, sesetengah orang berasa sangat takut bahawa alam sekitar akan dimusnahkan dan mengakibatkan kepupusan manusia.

 Nubuat Bible: “Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, . . . tidak setia, . . . tidak mahu dibawa berbincang, . . . suka berkhianat, keras kepala.”—2 Timotius 3:1-4.

 Nubuat Bible ini sebut tentang sikap manusia yang menyumbang kepada masalah perubahan iklim. Pihak kerajaan dan ahli perniagaan hanya mahu mengaut keuntungan dan bukannya mendahulukan masa depan manusia. Walaupun mereka cuba bekerjasama, mereka tidak dapat mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan isu pemanasan global.

 Selain itu, nubuat Bible ini menunjukkan bahawa kebanyakan orang tidak akan mengubah sikap mereka demi melindungi alam sekitar. Sebaliknya, Bible kata bahawa manusia akan “menjadi semakin jahat.”—2 Timotius 3:13.

Mengapakah kita yakin bahawa Tuhan pasti akan bertindak?

 Bible kata bahawa Pencipta kita, Tuhan Yehuwa a sangat menyayangi bumi dan penduduknya. Lihatlah tiga ayat Bible yang menunjukkan bahawa Tuhan akan mengambil tindakan.

  1.  1. Tuhan “menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.”—Yesaya 45:18.

     Tuhan pasti melaksanakan tujuan-Nya bagi bumi. (Yesaya 55:11) Dia tidak akan membiarkan bumi dimusnahkan atau menjadi tempat yang tidak dapat didiami.

  2.  2. “Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah. Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:11, 29.

     Tuhan berjanji bahawa manusia akan hidup di bumi selama-lamanya dalam keadaan yang damai.

  3.  3. “Orang jahat akan dilenyapkan dari bumi.”—Amsal 2:22.

     Tuhan berjanji untuk melenyapkan orang jahat, termasuk mereka yang merosakkan bumi.

Apakah yang akan Tuhan lakukan pada masa depan?

 Bagaimanakah Tuhan akan menunaikan janji-Nya tentang bumi kita? Dia akan melakukannya menerusi Kerajaan-Nya di syurga yang akan memerintah seluruh bumi. (Matius 6:10) Kerajaan ini tidak perlu berunding dengan kerajaan manusia berkenaan isu yang berkaitan dengan bumi dan alam sekitar. Kerajaan ini akan menggantikan semua kerajaan manusia.—Daniel 2:44.

 Berita tentang Kerajaan Tuhan ialah berita baik bagi manusia dan bumi. (Mazmur 96:10-13) Perhatikan apa yang akan dilakukan oleh Tuhan Yehuwa melalui Kerajaan-Nya.

  •   Memulihara alam semula jadi

     Bible kata: “Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”—Yesaya 35:1.

     Maksudnya: Yehuwa akan memulihkan bumi kita, termasuk tempat-tempat yang dirosakkan oleh manusia.

  •   Mengawal cuaca

     Bible kata: “[Yehuwa] meredakan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang.”—Mazmur 107:29.

     Maksudnya: Yehuwa mempunyai kuasa untuk mengawal unsur alam. Kita tidak akan menderita akibat cuaca yang melampau lagi.

  •   Mengajar manusia untuk menjaga bumi

     Bible kata: “Aku akan memberimu pengertian dan mengajarmu jalan yang harus ditempuh.”—Mazmur 32:8.

     Maksudnya: Yehuwa memberi manusia tanggungjawab untuk menjaga bumi. (Kejadian 1:28; 2:15) Maka, Dia akan mengajar kita cara yang terbaik untuk menjaga alam semula jadi dan tidak merosakkannya.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?