Lompat ke kandungan

Kami Menjemput Anda untuk Melawat Kompleks Bethel di Amerika Syarikat

Kami Menjemput Anda untuk Melawat Kompleks Bethel di Amerika Syarikat

“Kami amat gembira kerana berpeluang melawat Bethel. Kami tidak akan melupakan kenangan manis itu.” Inilah kata-kata sepasang suami isteri dari Vanuatu setelah mereka melawat Bethel Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat. Puluhan ribu pelawat yang datang setiap tahun juga berasa sedemikian.

Sudahkah anda melawat kompleks Bethel di Amerika Syarikat? Jika belum, kami menjemput anda untuk berbuat demikian.

Apakah yang akan anda lihat di situ?

Ibu Pejabat Sedunia, Warwick, New York. Anda boleh melawat tiga pameran tanpa pemandu. Salah satunya ialah “Bible dan Nama Tuhan,” yang mempamerkan edisi-edisi Bible yang jarang ditemui dan menunjukkan bagaimana nama Tuhan dipelihara dalam Bible. Pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa” pula mengisahkan sejarah Saksi-Saksi Yehuwa. Selain itu, pameran “Ibu Pejabat Sedunia​— Mereka Menunjukkan Iman” menjelaskan bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perjumpaan, mempelajari Bible, menyebarkan mesej Bible, dan menunjukkan kasih kepada satu sama lain. Anda juga boleh mengikuti lawatan bersama seorang pemandu lawatan. Lawatan ini panjangnya 20 minit, dan anda akan melawat Bangunan Pejabat/Perkhidmatan dan bangunan-bangunan lain serta taman di situ.

Pusat Pendidikan Watchtower, Paterson, New York. Terdapat beberapa buah sekolah di situ, seperti Sekolah Latihan Gilead dan Sekolah untuk Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Isteri Mereka. Anda juga akan melihat pameran dan video yang menjelaskan kerja yang dilakukan di situ, seperti Bahagian Seni dan Bahagian Audio/Video.

Percetakan dan Penghantaran Bahan Bacaan, Wallkill, New York. Ikutilah lawatan bersama pemandu lawatan di situ dan lihatlah bagaimana Bible dan bahan bacaan yang lain dicetak, dijilid, dan kemudiannya dihantar ke sidang-sidang di Amerika Syarikat, Caribbean, dan lokasi lain di serata dunia.

Bagaimanakah saya dapat membuat tempahan lawatan?

Sebelum anda datang, sila buat tempahan dengan mengisi borang di halaman Maklumat Pejabat dan Lawatan. Halaman ini mempunyai maklumat tambahan tentang kompleks Bethel Amerika Syarikat, seperti lokasi dan jangka masa setiap lawatan.

Siapakah yang akan menjadi pemandu lawatan?

Orang yang bekerja dalam pelbagai bahagian di Bethel akan menjadi pemandu lawatan. Mereka berbuat demikian secara sukarela kerana mereka memandang tugas ini sebagai sebahagian daripada kerja pendidikan Bible sedunia. Kami menyediakan lawatan dalam pelbagai bahasa.

Berapakah bayarannya?

Tiada bayaran dikenakan.

Bolehkah saya melawat jika saya bukan seorang Saksi-Saksi Yehuwa?

Memang boleh. Banyak orang yang melawat bukanlah Saksi-Saksi Yehuwa. Tidak kira sama ada anda seorang Saksi atau tidak, kami mengalu-alukan anda untuk datang dan mengetahui bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa menjalankan kerja mereka di serata dunia.

Seorang wanita Muslim dari India telah melawat Paterson. Selepas lawatannya, dia berkata, “Saya mahu jadi sebahagian daripada organisasi ini. Terima kasih kerana melayan saya dengan begitu baik.”

Bolehkah kanak-kanak ikut serta?

Boleh! Kanak-kanak yang datang melawat telah mendapat banyak galakan. John, seorang pelawat dari Amerika Syarikat, menulis,

“Kanak-kanak dalam kumpulan kami asyik bercerita tentang Bethel sejak mereka pulang dari lawatan itu. Sebelum itu, mereka tidak begitu memahami apa itu Bethel, tetapi sekarang mereka bercita-cita untuk berkhidmat di situ.”

Bolehkah saya melawat Bethel Saksi-Saksi Yehuwa di negara lain?

Boleh. Anda dialu-alukan untuk melawat Bethel Saksi-Saksi Yehuwa di negara-negara lain. Untuk mengetahui alamatnya, sila layari halaman Maklumat Pejabat dan Lawatan. Kami menanti-nantikan kedatangan anda!