Lompat ke kandungan

Mereka Meminta Kerja tetapi Tidak Meminta Gaji

Mereka Meminta Kerja tetapi Tidak Meminta Gaji

Sejak 28 tahun yang lalu, lebih daripada 11,000 Saksi-Saksi Yehuwa telah meninggalkan rumah dan bahkan negara asal mereka untuk menyertai kerja pembinaan di 120 negara. Mereka rela menggunakan tenaga dan kemahiran sendiri dengan sepenuh waktu tanpa mengharapkan bayaran.

Ramai yang menanggung kos perjalanan sendiri untuk menyertai projek pembinaan. Ada yang melakukan kerja ini semasa cuti, manakala yang lain mengambil cuti dan sanggup mengorbankan pendapatan sendiri untuk berbuat demikian.

Pengorbanan sebegini tidak diwajibkan, tetapi mereka telah menawarkan diri untuk menyokong kerja penyebaran tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14) Mereka telah membina pejabat, tempat tinggal, dan bangunan untuk mencetak Bible dan bahan bacaan Bible. Saksi-Saksi Yehuwa juga telah membina Dewan Perhimpunan yang mempunyai sebanyak 10,000 buah kerusi dan Dewan Perjumpaan yang mempunyai 300 buah kerusi.

Kerja pembinaan ini belum bernoktah. Sebaik sahaja para pekerja tiba di tapak pembinaan, pejabat cawangan tempatan akan menyediakan penginapan, makanan, khidmat cuci pakaian, dan keperluan harian yang lain. Saksi-Saksi tempatan juga menyertai kerja pembinaan dengan sukacita.

Untuk mengaturkan dan mengendalikan kerja yang berskala besar ini, satu program antarabangsa telah dimulakan pada tahun 1985. Para pekerja sukarela yang ingin terlibat dalam program ini haruslah merupakan Saksi-Saksi Yehuwa yang berumur antara 19 hingga 55 tahun, dan mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran dalam bidang pembinaan. Di bawah program ini, mereka akan diberikan tugasan yang memakan masa antara dua minggu hingga tiga bulan. Ada kalanya, tugasan mereka akan memakan masa lebih dari setahun.

Isteri kepada saudara yang menyertai kerja pembinaan telah dilatih untuk melakukan tugas seperti mengikatkan dawai pada keluli pengukuh, memasang jubin, atau menggosok dan mengecat. Yang lain pula membantu menyediakan makanan atau melakukan kerja pembersihan untuk para pekerja.

Setelah pulang ke tempat masing-masing, sesetengah pekerja sukarela menulis surat untuk mengungkapkan penghargaan mereka atas jemputan untuk menyertai kerja pembinaan. Satu pasangan menulis, “Kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana berpeluang bekerja di cawangan di Budapest. Saksi-Saksi di Hungary sangat pengasih dan menghargai usaha para pekerja. Kami keberatan untuk berpisah dengan mereka sesudah berada bersama mereka selama sebulan. Tetapi itulah lumrah hidup. Kami berharap dapat pergi ke situ lagi pada musim bunga depan. Setiap kali kami menyertai kerja ini, kami berasa bahawa bulan-bulan itulah detik teristimewa dalam kehidupan kami.”