Lompat ke kandungan

Menghadapi Para Paderi yang Marah dengan Lemah Lembut

Menghadapi Para Paderi yang Marah dengan Lemah Lembut

 Artur merupakan seorang penyelia litar di Armenia. Semasa dia melawat sebuah sidang Saksi-Saksi Yehuwa, dia mendapati bahawa sidang itu belum lagi menyertai kesaksian awam dengan menggunakan rak mudah alih yang mempamerkan bahan bacaan Bible. Bagi menggalakkan sidang itu untuk mencuba cara kesaksian sebegini, Artur dan isterinya Anna, serta seorang lagi Saksi yang bernama Jirayr, telah mendirikan rak bahan bacaan di sebuah pekan kecil. Mereka memilih sebuah lokasi yang ramai orang lalu-lalang.

 Orang yang lalu menunjukkan minat dan mengambil bahan bacaan daripada rak tersebut. Tetapi, cara kesaksian yang baharu ini juga telah menarik perhatian para penentang. Dua orang paderi mendekati rak itu, dan salah seorang antara mereka menendang rak itu secara tiba-tiba. Dia menampar muka Artur, dan menyebabkan cermin matanya terjatuh. Artur, Anna, dan Jirayr cuba menenangkan para paderi, tetapi tidak berjaya. Para paderi menginjak-injak rak itu dan bahan bacaan bertaburan. Mereka meninggalkan tempat itu setelah memaki hamun dan mengugut para Saksi.

 Artur, Anna, dan Jirayr pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Mereka memberi keterangan dan juga menyebut tentang Bible secara ringkas kepada beberapa pegawai polis dan pekerja lain di sana. Kemudian, tiga orang Saksi itu dibawa ke pejabat pegawai kanan. Pada mulanya, pegawai itu hanya ingin tahu butiran aduan mereka. Tetapi setelah dia mendapati bahawa Artur, seorang yang berbadan tegap, tidak lawan balik semasa ditampar, pegawai itu pun berhenti menyoal tentang kes itu dan mula bertanya tentang kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa. Perbincangan mereka berterusan selama empat jam! Pegawai itu begitu kagum dengan pengalaman tersebut dan dia berseru, “Agama kamu hebat sekali! Saya pun fikir mahu masuk!”

Artur dan Anna

 Artur meneruskan kesaksian awam pada keesokan hari, dan seorang lelaki menghampirinya. Lelaki itu telah melihat apa yang berlaku pada hari sebelumnya, dan dia memuji Artur kerana Artur tetap bertenang dan tidak membalas balik. Dia juga menyebut bahawa dia hilang rasa hormat terhadap para paderi setelah peristiwa itu.

 Pada petang itu, pegawai kanan polis memanggil Artur ke balai polis semula, tetapi kali ini bukan untuk membincangkan kes tersebut. Pegawai itu menanya banyak soalan tentang Bible. Terdapat dua orang polis yang ikut serta perbincangan itu.

 Pada hari yang seterusnya, Artur melawat pegawai kanan polis itu untuk memainkan beberapa video yang berkaitan dengan topik Bible. Pegawai tersebut memanggil anggota polis lain untuk turut menonton bersama video-video itu.

 Akibat kelakuan buruk para paderi, banyak anggota polis berpeluang untuk menerima mesej Bible buat kali pertama. Hal ini telah memberi mereka tanggapan yang positif terhadap Saksi-Saksi Yehuwa.