Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Saya Orang yang Bertanggungjawab?

Adakah Saya Orang yang Bertanggungjawab?

 Nilailah keadaan diri!

  •  Saya selalu, biasanya, kadangkala, atau tidak pernah . . .

    •  jujur

    •  boleh diharap

    •  menepati masa

    •  rajin

    •  melakukan sesuatu dengan teratur

    •  suka membantu orang

    •  adil

    •  menghormati orang

    •  prihatin

  •   Sifat manakah yang dapat kamu tunjuk dengan baik sekali?

     Teruslah menunjukkan sifat itu.​—Filipi 3:​16.

  •   Sifat manakah yang perlu kamu usahakan lagi?

 Maklumat berikut dapat membantu kamu untuk memperbaik diri.

 Apakah maksud bertanggungjawab?

 Orang yang bertanggungjawab melaksanakan kewajipannya di sekolah, dalam keluarga, dan masyarakat. Mereka sedar bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas setiap perbuatan sendiri. Jadi jika mereka berbuat silap, mereka akan mengakuinya, meminta maaf, dan berusaha untuk membetulkannya.

 Bible menyatakan, “Setiap orang harus memikul tanggungan masing-masing.”​—Galatia 6:5.

 Mengapakah penting untuk menjadi orang yang bertanggungjawab?

Orang yang bertanggungjawab akan menggunakan kemahirannya dengan bijak. Hasilnya, mereka lebih dihormati orang, dilayan seperti orang dewasa, dan menikmati lebih banyak kebebasan.

 Bible menyatakan, “Pernahkah kamu melihat orang yang mahir melakukan kerjanya? Dia akan berkhidmat kepada raja.”​—Amsal 22:29.

Biasanya, orang yang bertanggungjawab juga bersikap murah hati dan dapat menjalinkan persahabatan yang baik dengan orang lain.

 Bible menyatakan, “Amalkanlah tabiat memberi dan orang lain juga akan memberi kepada kamu.”​—Lukas 6:​38.

Orang yang bertanggungjawab dapat berasa bangga dan puas hati apabila berjaya melaksanakan suatu tugasan. Semua ini membina keyakinannya terhadap diri sendiri.

 Bible menyatakan, “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya.”​—Galatia 6:4.

 Apakah caranya untuk menjadi orang yang lebih bertanggungjawab?

 Untuk mencari jawapannya, perhatikan komen-komen berikut. Yang manakah menggambarkan perasaan kamu dengan tepat?

 “Mak dan ayah layan saya macam bayi. Setiap jam saya perlu beritahu mereka saya berada di mana. Geram betul!”​—Kerri.

 “Biasanya, ibu bapa akan izinkan saya keluar bersama kawan.”​—Richard.

 “Semasa saya tengok apa yang dibuat oleh rakan sebaya saya, saya pun fikir, ‘Kenapa ibu bapa saya tidak benarkan saya buat begitu?’”​—Anne.

 “Ibu bapa saya membenarkan saya buat apa sahaja yang saya mahu. Saya sangat bersyukur kerana mereka memberi saya kebebasan ini.”​—Marina.

 Kesimpulan: Sesetengah orang muda mendapat lebih banyak kebebasan berbanding yang lain. Mengapa?

 Fakta: Tahap kebebasan yang diberikan ibu bapa kepada kamu bergantung pada tahap kepercayaan mereka terhadap kamu.

 Contohnya, perhatikan apa yang dikatakan oleh dua orang anak muda yang disebutkan tadi.

 Richard: “Ibu bapa saya pernah berasa ragu-ragu untuk memberi saya kebebasan. Tetapi sekarang mereka semakin mempercayai saya kerana saya tidak pernah menyalahgunakan kebebasan yang diberikan kepada saya. Saya tidak pernah berbohong tentang ke mana saya pergi dan dengan siapa saya keluar. Sebelum mereka menanya saya, saya sudah pun memberitahu mereka rancangan saya.”

 Marina: “Sepanjang hidup saya, saya pernah berbohong kepada ibu bapa sebanyak dua kali. Tetapi belakangan kedua-duanya pun diketahui mereka. Sejak itu, saya berusaha untuk jujur terhadap mereka. Contohnya, saya selalu memberitahu mereka apa yang saya buat. Jika saya keluar, saya juga akan menelefon mereka untuk memberitahu saya berada di mana. Sekarang mereka semakin mempercayai saya.”

Apakah keutamaan kamu? Kerja rumah atau rekreasi?

 Adakah kamu mahu menjadi seperti Richard dan Marina? Jika ya, periksalah diri kamu dengan mempertimbangkan soalan-soalan dalam tiga bahagian berikut:

DI RUMAH

  •   Adakah kamu menyiapkan tugas yang diberikan oleh ibu bapa kamu dengan baik?

  •   Adakah kamu pulang rumah sebelum waktu yang ditetapkan oleh ibu bapa?

  •   Adakah kamu memperlakukan ibu bapa dan adik-beradik kamu dengan hormat?

 Antara perkara-perkara di atas, yang manakah perlu kamu usahakan lagi?

 Bible menyatakan, “Patuhilah ibu bapa kamu.”​—Efesus 6:1.

DI SEKOLAH

  •   Adakah kamu menyiapkan kerja sekolah pada masa yang ditetapkan?

  •   Adakah kamu berusaha untuk mendapat markah yang lebih baik?

  •   Adakah kamu rajin belajar?

 Antara perkara-perkara di atas, yang manakah perlu kamu usahakan lagi?

 Bible menyatakan, “Kebijaksanaan dapat melindungi seseorang.” (Pengkhutbah 7:​12) Pendidikan yang baik dapat membantu kamu menjadi lebih bijak.

REPUTASI

  •   Adakah kamu selalu jujur dengan ibu bapa kamu dan orang lain?

  •   Adakah kamu dapat menguruskan wang dengan baik?

  •   Adakah kamu dikenali sebagai orang yang boleh diharap?

 Antara perkara-perkara di atas, yang manakah perlu kamu usahakan lagi?

 Bible menyatakan, “Hendaklah kamu mengenakan keperibadian baharu.” (Efesus 4:24) Sememangnya, kamu dapat memupuk sifat yang murni dan membina reputasi yang baik.

 Cadangan: Antara tiga bahagian yang disebutkan di atas, pilihlah satu perkara yang kamu perlu usahakan lagi. Mintalah nasihat daripada mereka yang merupakan teladan baik dalam perkara itu. Senaraikan secara spesifik hal-hal yang dapat kamu usahakan, dan catatkanlah kemajuan yang kamu buat selama sebulan. Tuliskan dalam buku nota kamu perkara yang gagal kamu lakukan dan perkara yang kamu buat dengan baik. Selepas satu bulan, lihatlah seberapa banyak kemajuan yang kamu telah buat.