Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Berhenti Hidup Bermuka Dua?

Bagaimanakah Saya Dapat Berhenti Hidup Bermuka Dua?

 Hidup mengikut standard Bible memerlukan masa dan usaha. Jadi ada kalanya, sesetengah penyembah Tuhan tertanya-tanya adakah hal itu berbaloi atau tidak. (Mazmur 73:2, 3) Mereka mungkin telah mula melakukan perkara-perkara yang bercanggahan dengan hukum Yehuwa dan cuba memperdaya penyembah Tuhan yang lain dengan menyembunyikan perbuatan mereka yang buruk.

 Rencana ini dapat membantu mereka yang telah mula menempuh haluan sebegitu tetapi ingin berhenti berbuat demikian.

Dalam rencana ini

 Apakah itu hidup bermuka dua?

 Hidup bermuka dua bermaksud bahawa apabila kamu bersama dengan kawan-kawan yang tidak mentaati Yehuwa, kamu melakukan perkara yang kamu tahu salah. Tetapi apabila kamu bersama dengan ahli sidang, kamu berpura-pura ingin menyembah Yehuwa. Kamu seolah-olah ada dua haluan hidup dan sedang memakai topeng.

 “Apabila kamu hidup bermuka dua, kamu sedang menyembunyikan sesuatu daripada semua orang. Jadi, tiada orang yang tahu identiti kamu yang sebenar. Kamu sedang berbohong kepada semua orang.”—Erin.

 Tahukah kamu? Hidup bermuka dua boleh merangkumi melakukan perkara yang tidak disukai Yehuwa semasa bersendirian.

 “Semasa saya berumur 14 tahun, saya mula melihat gambar dan video yang tidak senonoh di Internet. Semasa di depan orang, saya seolah-olah benci pornografi, padahal hati saya sebenarnya tidak benci.”—Nolan.

 Prinsip Bible: “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi menghina yang seorang lagi.”—Matius 6:24.

 Adakah hidup bermuka dua bermaksud saya ialah orang yang tidak baik?

 Tidak semestinya. Sudah tentu, sesetengah orang memilih untuk tidak hidup menurut standard Bible. Tetapi adakah kamu orang sebegitu? Atau, kamu ada sebab lain seperti:

  •   Kamu takut kelihatan berbeza di depan kawan-kawan kamu.

  •   Kamu rasa kamu ada lebih banyak minat yang sama dengan rakan sekolah berbanding ahli sidang.

  •   Kamu rasa tiada kekuatan dan tidak mampu untuk ikut semua perintah Tuhan.

 “Saya rasa sesetengah orang muda yang hidup bermuka dua lebih selesa bersama orang yang tidak ikut ajaran Bible kerana mereka mahu diterima tidak kira dalam keadaan apa pun.”—David.

 Sudah tentu, sebab-sebab itu bukanlah alasan yang kukuh untuk hidup bermuka dua. Namun, ini dapat menjelaskan bahawa bahkan orang baik juga boleh terjerat untuk berbuat demikian. Jika itulah yang kamu alami, apakah yang dapat membantu kamu?

 Bagaimanakah saya boleh berhenti hidup bermuka dua?

  1.  1. Fikirkan cara hidup kamu sekarang. Tanyalah diri, “Adakah saya memang mahu jadi orang sebegini? Kalau saya terus hidup begini, apakah akibatnya?”

     Prinsip Bible: ‘Orang bijak melihat bahaya, tetapi orang yang kurang pengalaman terus berjalan lalu menanggung derita.’—Amsal 27:12.

  2.  2. Bersikap jujur. Bincang keadaan kamu dengan ibu bapa atau rakan yang matang yang menghormati hukum Yehuwa. Kemungkinan besar, mereka berasa gembira kerana kamu minta bantuan mereka. Mereka juga akan berasa bangga melihat kamu ingin melakukan apa yang benar!

    Jika kamu sudah terjerumus dalam hidup bermuka dua, dapatkanlah bantuan

     “Mengakui kesalahan saya ialah salah satu perkara yang paling susah saya pernah buat. Tapi selepas saya buat, saya berasa sangat lega.”—Nolan.

     Prinsip Bible: “Sesiapa yang menyembunyikan dosanya tidak akan berjaya,tetapi sesiapa yang mengakui dan meninggalkan dosanya akan mendapat belas kasihan.”—Amsal 28:13.

  3.  3. Terimalah akibatnya. Ingatlah, jika kamu menyembunyikan sesuatu daripada ibu bapa dan daripada sidang, kamu membuat mereka berasa susah untuk mempercayai kamu. Akibatnya, ibu bapa atau penatua di sidang mungkin tidak membenarkan kamu melakukan sesetengah perkara buat sementara waktu. Terimalah akibat itu, dan bertekadlah untuk “melakukan segala sesuatu dengan jujur” mulai sekarang.—Ibrani 13:18.

     Prinsip Bible: “Dengarkanlah nasihat dan terimalah disiplin. Dengan demikian kamu akan menjadi bijaksana kelak.”—Amsal 19:20.

  4.  4. Yakinkan diri bahawa Tuhan mengasihi kamu. Oleh sebab Yehuwa mengasihi kita, Dia memerhatikan setiap perbuatan kita. Jadi, Dia tahu dan rasa sedih jika kamu hidup bermuka dua. Namun, Dia ingin sekali membantu kamu membetulkan haluan kamu “kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

     Prinsip Bible: “Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya kepada mereka.”—2 Tawarikh 16:9.