Lompat ke kandungan

Apakah Itu Kedatangan Kristus?

Apakah Itu Kedatangan Kristus?

Jawapan Bible

 Bible menyebut tentang banyak hal yang akan berlaku pada masa depan apabila Kristus datang untuk menghakimi manusia di bumi. a Sebagai contoh, Matius 25:31-​33 menyatakan:

 “Apabila Anak Manusia [Yesus Kristus] datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung. Semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya.”

 Masa penghakiman ini merupakan sebahagian daripada “kesengsaraan besar” yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia, dan kemuncaknya adalah perang Armagedon. (Matius 24:21; Wahyu 16:16) Bagi musuh Kristus, yang digambarkan sebagai kambing dalam perumpamaannya, “hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka ialah kebinasaan yang kekal.” (2 Tesalonika 1:9; Wahyu 19:11, 15) Sebaliknya, hamba setia Kristus yang digambarkan sebagai biri-biri mempunyai harapan untuk “hidup selama-lamanya.”​—Matius 25:46.

Bilakah Kristus akan datang?

 Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya.” (Matius 24:36, 42; 25:13) Namun begitu, Yesus pernah memberitahu murid-muridnya tentang hal-hal yang akan berlaku sebelum dia datang.​—Matius 24:​3, 7-​14; Lukas 21:10, 11.

Adakah Kristus datang sebagai manusia atau makhluk roh?

 Yesus dibangkitkan dalam bentuk tubuh roh, oleh itu dia akan datang sebagai makhluk roh juga, dan bukannya manusia. (1 Korintus 15:45; 1 Petrus 3:​18) Sebab itulah Yesus memberitahu rasul-rasulnya pada hari sebelum kematiannya, “Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat aku lagi.”​—Yohanes 14:19.

Tanggapan yang salah mengenai kedatangan Kristus

 Tanggapan yang salah: Bible mengatakan bahawa orang akan melihat Yesus “datang di atas awan.” Hal ini bermaksud kita dapat melihat Yesus semasa dia datang.​—Matius 24:30.

 Kebenaran: Dalam Bible, awan selalunya dikaitkan dengan sesuatu yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat. (Imamat 16:2; Bilangan 11:25; Ulangan 33:26) Contohnya, Tuhan berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu di dalam awan tebal.” (Keluaran 19:9) Tetapi Musa tidak melihat Tuhan secara harfiah. Dalam cara yang sama, apabila Kristus “datang di atas awan,” orang akan sedar bahawa dia sudah datang, biarpun mereka tidak dapat melihatnya secara harfiah.

 Tanggapan yang salah: Mengenai kedatangan Kristus, Wahyu 1:7 menyatakan bahawa “semua orang akan melihatnya.” Ungkapan ini menunjukkan bahawa orang akan melihat Kristus datang.

 Kebenaran: Perkataan Yunani bagi “melihat” dalam Bible membawa maksud mengerti atau mengetahui sesuatu hal, dan tidak semestinya merujuk kepada penglihatan secara harfiah. b (Matius 13:15; Lukas 19:42; Roma 15:21; Efesus 1:​18) Bible menyatakan bahawa Yesus yang telah dibangkitkan “tinggal dalam cahaya yang tidak boleh didekati oleh sesiapa pun. Tidak ada orang . . . yang dapat melihatnya.” (1 Timotius 6:​16) Oleh itu, ungkapan “semua orang akan melihatnya” bermaksud semua orang akan tahu bahawa Yesus telah diutus oleh Tuhan untuk menghakimi manusia.​—Matius 24:30.

 Tanggapan yang salah: Kata-kata dalam 2 Yohanes 7 menunjukkan bahawa Yesus akan datang sebagai manusia.

 Kebenaran: Dalam sesetengah terjemahan Bible, contohnya Alkitab Berita Baik, ayat itu menyatakan, “Banyak penipu telah pergi ke seluruh dunia. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia.”

 Pada zaman rasul Yohanes, ada orang yang menyangkal bahawa Yesus pernah datang ke bumi sebagai manusia. Mereka dikenali sebagai golongan Gnostik. 2 Yohanes 7 ditulis untuk membantah pernyataan mereka yang palsu itu.

a Walaupun ramai orang menggunakan istilah “kedatangan yang kedua” untuk merujuk kepada kedatangan Kristus, istilah ini sebenarnya tidak pernah muncul dalam Bible.

b Lihat The New Thayer’s Greek-English Lexicon of the New Testament (1981), muka surat 451 dan 470.