Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

JALAN YANG MENUJU KEBAHAGIAAN

Berpuas Hati dan Bermurah Hati

Berpuas Hati dan Bermurah Hati

SUDAH BERAPA KALI ANDA DENGAR BAHAWA HARTA DAN KEKAYAAN IALAH PENENTU KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN? Disebabkan pandangan itu, jutaan orang bekerja bermati-matian untuk mencari lebih banyak wang. Namun, adakah harta dan wang benar-benar membawa kebahagiaan yang kekal?

Menurut Journal of Happiness Studies, setelah memenuhi keperluan asas kita, pendapatan yang berlebihan tidak membantu meningkatkan kebahagiaan atau kesejahteraan kita secara keseluruhan. Wang bukan punca masalahnya, tetapi menurut majalah Monitor on Psychology, sikap “mengejar [wang] membuat orang tidak bahagia.” Itulah yang dinyatakan dalam Bible hampir 2,000 tahun lalu: “Sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan. Sesetengah orang . . . menikam diri dengan banyak kesakitan kerana mereka dikuasai sikap cinta akan wang.” (1 Timotius 6:9, 10) Apakah sesetengah “kesakitan” itu?

KHUATIR DAN SUSAH TIDUR KERANA PERLU MELINDUNGI HARTA. “Lenanya tidur seorang pekerja, tidak kira makanannya sedikit atau banyak. Tetapi orang kaya yang mempunyai banyak harta tidak dapat tidur.”​—Pengkhutbah 5:12.

KECEWA APABILA KEBAHAGIAAN YANG DIHARAPKAN TIDAK KUNJUNG TIBA. Salah satu sebabnya ialah keinginan untuk mendapatkan wang tidak dapat dipuaskan. “Orang yang mencintai perak, tidak akan berasa puas dengan perak. Begitu juga, orang yang mencintai kekayaan, tidak akan berasa puas dengan pendapatannya.” (Pengkhutbah 5:10) Selain itu, orang yang menggilakan kekayaan mungkin akan mengorbankan hal penting yang membawa kebahagiaan, seperti ibadat atau masa bersama sahabat dan keluarga.

SEDIH DAN MARAH APABILA NILAI WANG MENYUSUT ATAU PELABURAN GAGAL. ‘Jangan berjerih lelah untuk mendapatkan kekayaan. Kekayaan itu boleh hilang dalam sekelip mata, seolah-olah kekayaan itu bersayap dan terbang ke langit seperti burung helang.’​—Amsal 23:4, 5.

SIFAT YANG MEMBAWA KEBAHAGIAAN

BERPUAS HATI. “Kita tidak membawa apa-apa masuk ke dalam dunia ini, dan kita juga tidak dapat membawa apa-apa keluar. Maka jika kita mempunyai makanan dan pakaian, kita akan berpuas hati.” (1 Timotius 6:7, 8) Orang yang berpuas hati biasanya tidak merungut atau berasa iri hati. Mereka juga berbelanja mengikut kemampuan sendiri, maka mereka terhindar daripada banyak tekanan dan kekhuatiran.

BERMURAH HATI. “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kisah 20:35) Orang yang murah hati berbahagia kerana mereka suka membuat orang lain gembira, biarpun apa yang dapat diberi mereka hanyalah sedikit masa dan tenaga. Namun, mereka dikasihi, dihormati, dan mendapat kawan sejati yang murah hati seperti mereka. Semua itu tidak dapat dibeli dengan wang!​—Lukas 6:38.

MENDAHULUKAN ORANG LAIN. “Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih, daripada makan daging lembu yang gemuk tetapi disertai kebencian.” (Amsal 15:17) Ya, hubungan yang baik dengan orang lain lebih penting daripada harta benda. Tanpa kasih, kita juga tidak dapat hidup bahagia.

Fikirkan contoh Sabina, seorang wanita di Amerika Selatan yang ditinggalkan suaminya. Untuk menjaga kehidupan sendiri dan dua anak perempuannya, Sabina melakukan dua pekerjaan dan perlu bangun jam empat pagi setiap hari. Meskipun begitu sibuk, Sabina memutuskan untuk belajar Bible. Apakah hasilnya?

Keadaan kewangannya tidak banyak berubah, tetapi pandangannya terhadap kehidupan menjadi sangat positif! Contohnya, dia berbahagia kerana keperluan rohaninya dipuaskan. (Matius 5:3) Dia mendapat sahabat sejati dalam kalangan rakan seiman, dan dia berasa bahagia kerana dapat berkongsi dengan orang lain apa yang dipelajarinya.

Bible menyatakan bahawa kebijaksanaan dibuktikan oleh hasilnya. (Matius 11:19) Memandangkan sikap berpuas hati, kemurahan hati, dan mendahulukan orang membawa hasil yang baik, haluan itu memang bijak dan membawa kebahagiaan!